PAS atau Chedet Punca Perpecahan Perpaduan Melayu ?

2:11 AM Unknown 0 Comments

"Bagi orang Melayu penubuhan PAS adalah satu malapetaka. Ia memecahbelah perpaduan Melayu dalam UMNO yang berjaya tumpas Malayan Union. Walaupun orang Melayu menjadi majoriti di Malaysia, tetapi dengan adanya PAS orang Melayu tidak menjadi majoriti lagi." - Chedet (17 April 2017)

Apa yang dikatakan oleh Chedet tu benar, bila tertubuhnya lebih banyak serpihan parti-parti kaum Melayu, maka Melayu tidak lagi majoriti. Sama seperti apa yang berlaku kini, bila PPBM ditubuhkan, ia sekali lagi memecahbelahkan perpaduan Melayu, sama seperti penubuhan PKR dan AMANAH yang mana majoriti ahli kedua-dua parti itu juga adalah orang Melayu.

Penulisan Chedet itu walau bagaimanapun nampak agak 'bias' dan hipokrit kerana tidak membangkitkan soal penubuhan parti-parti 'melayu' yang lain hanya kerana mereka berada dalam kumpulan yang sama. Sebagai rekod, pada tahun 2013 , Chedet pernah menyebut PAS dan PKR adalah pemecah belah orang Melayu dalam satu ceramah di Bukit Mertajam.

"Dr Mahathir berkata perpecahan masyarakat Melayu di negara ini menjadi semakin ketara apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan PKR untuk membolehkan angan-angannya untuk menjadi Perdana Menteri tercapai." - Sinar Harian, 4 Mei 2013

Namun setelah bersama-sama Pakatan Harapan, PKR yang juga pernah dikatakan sebagai pemecah-belah Melayu tidak dinyatakan. Tampak jelas artikel terikini yang ditulis Chedet itu sebenarnya bukan memfokuskan tentang penyatuan Melayu malah lebih kepada lontaran rasa kekecewaan terhadap PAS kerana tidak turut bersama-sama Pakatan Harapan dalam PRU akan datang.

Pernah satu ketika dahulu Chedet dilabel sebagai punca pemecah belah orang Melayu disebabkan tindakan beliau memecat DS Anwar, ramai percaya tahun 1998 menjadi titik perpecahan Melayu yang ketara. Sebelum tahun 1998, PAS bukanlah menjadi faktor menang kalah UMNO dalam pilihanraya, impak PAS dalam sumbangan undi Melayu kepada UMNO adalah sangat kurang. Walau bagaimanapun, semuanya berubah selepas tahun 1998 sehingga memaksa proses persempadanan dilakukan dek bimbang momentum 'tsunami Melayu' yang berlaku pada ketika itu.

Pada PRU-10(1999) undi popular terhadap parti UMNO (tidak ambil kira keseluruhan komponen BN) berada pada tahap 32% berbanding 40% semasa pilihanraya sebelumnya (1995). Walau bagaimanapun, selepas Chedet letak jawatan (31 Oct 2003) lebih kurang 6 bulan sebelum PRU-11 (21 Mac 2004) dijalankan, sokongan rakyat khususnya orang Melayu terhadap UMNO kembali meningkat pada tahap 39% .

Semasa di bawah pentadbiran Pak Lah, berlaku lagi perpecahan dalaman UMNO bila Chedet umum keluar parti dan mengajak yang lain keluar sama-sama beliau bagi mendesak supaya Pak Lah letak jawatan. Pengaruh Chedet sebagai bekas Perdana Menteri yang berkhidmat selama 22 tahun tak dinafikan kuat dikalangan orang-orang Melayu dan disebabkan itu telah berlaku 'pola penghijrahan' dan boikot terhadap UMNO. Hasilnya , undi popular terhadap UMNO kembali merosot pada 33% semasa PRU-12 (2008) dan seterusnya adalah apa yang kita lihat pada hari ini.

Jadi apabila Chedet menulis PAS sebagai punca perpecahan perpaduan Melayu , Chedet juga seharusnya melihat kembali tindakan-tindakan yang pernah dilakukan beliau dahulu sehingga Melayu berpecah seperti yang kita lihat pada hari ini. Walaupun di bawah payung Pakatan Harapan sendiri kita boleh tengok terdapat 3 komponen parti yang mempunyai dominan ahli parti yang berbangsa Melayu . Jadi kenapa perlu melihat jauh 'perpecahan' Melayu di luar ruang lingkungan?

0 comments: