Pengguna Vape atau Penagih Vape?

9:57 PM Unknown 0 Comments

Tiba-tiba sahaja 'vape' menjadi isu yang panas di negara ini apabila serbuan ke atas beberapa premis perniagaan 'vape' dilakukan baru-baru ini. Secara peribadi saya anggap 'vape' adalah satu isu yang remeh dan tak perlu diperbesarkan. Penggunaan 'vape' di kalangan masyarakat kini sebenarnya hanyalah satu 'trend' sama seperti apabila shisha mula-mula diperkenalkan dahulu. Rata-rata yang tidak bersetuju dengan 'vape' adalah kerana 'trend' ini mewujudkan tabiat tidak sihat dikalangan masyarakat.  Tidak sihat dalam konteks adab dan tatasusila masyarakat negara ini.

Ramai pengguna 'vape' beranggapan bahawa pengunaan alat itu sebenarnya dapat membantu seorang perokok untuk berhenti menjadi perokok .  Pendapat ini ada benarnya, kerana beberapa orang rakan saya sendiri yang dahulunya seorang perokok tegar dapat berhenti merokok apabila beralih kepada penggunaan 'vape' . Walau bagaimanapun, apa yang menimbulkan kegusaran bagi golongan yang menentang penggunaan 'vape' ialah pengguna baru alat ini yang sebelum ini bukan perokok . Pengguna baru beerti golongan yang tidak pernah merokok tapi mendapat satu tabiat atau ketagihan baru apabila 'vape' diperkenalkan.

Mereka yang dahulu tidak merokok menggunakan 'vape' percaya penggunaan alat itu tidak memudaratkan seperti rokok . Malah mereka percaya 'asap' yang terhasil dari 'vape' yang digunakan itu adalah wap air semata-mata. Saya sendiri tidak pasti samada kenyataan ini adalah berdasarkan hasil dari ujikaji sains yang diiktiraf atau sekadar persepsi pengguna 'vape' itu sendiri. Namun untuk mengetahui samada penggunaan 'vape' ini benar-benar memberi kesan kepada kesihatan fizikal/mental penggunanya ia mungkin mengambil masa sehingga bertahun-tahun.

Kesan merokok kepada seorang perokok juga mengambil masa bertahun-tahun sehingga perokok berkenaan disahkan mengidap kanser, masalah jantung dan lain-lain hal yang berkaitan.  Vape pula mungkin baru diperkenalkan 2-3 tahun yang lepas , untuk mengetahui samada ia benar-benar memberi kesan kepada kesihatan penggunanya kita mungkin perlu tunggu beberapa tahun lagi untuk penilaian penyelidik-penyelidik dalam bidang perubatan. Sekiranya didapati penggunaan 'vape' ini ternyata beri kesan dari segi kesihatan, amat malang sekali kepada mereka yang sebelum ini tidak merokok tetapi mula menggunakan 'vape' hanya semata-mata ingin kelihatan 'cool' .

Dalam isu 'vape' ini saya tidak mahu bersikap hipokrit dengan mengatakan saya tidak akan menggunakan 'gajet merokok' itu . Sebagai seorang bekas perokok tegar, ada kalanya perasaan ingin merokok itu sangat kuat meresap ke dalam diri , dan mungkin pada saat ini 'gajet merokok' ini dapat membantu. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ia mungkin menjadi satu alternatif yang sihat kepada seorang perokok tegar untuk berhenti merokok , namun sebaliknya bagi mereka yang tidak pernah merokok yang mengambil keputusan untuk menjadi penagih 'vape' . Seolah-olah macam takde penyakit cari penyakit.

0 comments: